Monday, March 5, 2012

 
DALAM perjalanan politik Pas, mereka sentiasa berusaha untuk memaparkan parti merekalah paling sempurna, parti merekalah yang paling aman dan damai serta parti merekalah yang tidak pernah ada konflik dalaman yang serius.

Tetapi apa yang berlaku di Kedah sudah membuktikan bahawa politik tetap politik, dalam politik tidak ada musuh dan kawan yang kekal, dalam sekelip mata musuh boleh menjadi kawan, kawan boleh menjadi musuh.

Walau apa pun keputusan yang dicapai oleh perjumpaan khas Jawatankuasa Pas pusat dengan barisan kepimpinan Pas Kedah malam tadi, ia sama sekali tidak boleh menutupi segala yang terdedah akibat konflik yang berlaku antara Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Datuk Phahrolrazi Zawawi.

Selain itu, ia juga sudah pasti tidak akan mampu meredam kegelojohan sesetengah puak di dalam Pas Kedah untuk menjatuhkan Azizan daripada kerusi Menteri Besar. Apa yang lebih hebat, krisis yang berlaku juga jelas membuktikan negeri itu sudah berpuak-puak, masing-masing mahu menjatuhkan antara satu sama lain sehingga menggugat pentadbiran Azizan.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah politik Pas, apabila ada kawasan (bahagian) dalam parti itu melarang pemimpinnya untuk menyertai barisan Exco yang kerajaan negerinya dipimpin oleh parti tersebut.

Tetapi bagaikan kisah jenaka yang aneh, ia berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Pas Kedah. Azizan diasak kiri dan kanan, beliau dianggap tidak berwibawa, tidak berkeupayaan dan tidak mampu lagi menjadi menteri besar negeri Jelapang Padi itu.

Malahan ada laporan mengatakan gerakan untuk menjatuhkan Azizan bukan main-main atau sekadar satu gertakan tetapi ia sudah disusun rapi. Ternyata di kalangan sesetengah pemimpin dan penyokong Pas mereka sudah kehilangan jati diri sejak parti itu mengubah haluan daripada perjuangan menubuhkan negara Islam kepada negara berkebajikan.

Kalau mendengar ceramah dan kuliah pemimpin-pemimpin mereka termasuklah yang bertaraf ulama, merekalah paling Islam dan paling baik. Mereka mendakwa dalam Pas tidak ada perebutan jawatan, pergeseran sesama sendiri atau jatuh menjatuh antara satu sama lain.

Kononnya ahli dan penyokong Pas sudah dididik supaya patuh kepada arahan kepimpinan parti melalui konsep 'kami dengar dan kami patuh', tetapi apa yang berlaku di Kedah mendedahkan segala-galanya.

Lebih daripada itu, dari semasa ke semasa kedudukan ulama sudah tidak selamat lagi dalam Pas, seorang demi seorang mahu disingkirkan. Majlis Syura Ulama dilihat bukanlah badan rujukan yang perlu diikuti.

Sebab itulah, krisis di Kedah menyaksikan Azizan yang dianggap daripada kelompok ulama mahu disingkirkan melalui mainan politik golongan bukan ulama. Sikap hipokrit kepimpinan Pas yang sering kali dianggap dihinggapi sindrom penafian dan menuding pihak lain terutama media terhadap apa juga berlaku kepada parti itu sudah mula memakan diri.

Ia bagaikan api dalam serkam serta bisul yang akhirnya menjadi barah kepada Pas, oleh itu tidak perlulah Pas bermuka-muka dan bersikap hipokrit lagi. Apa yang lebih malang, 'serangan' ke atas Azizan hanya semata-mata kerana ketegasan beliau dalam melaksanakan pentadbiran kerajaan negeri dan tidak mahu tunduk kepada tekanan mana-mana pihak di luar parti.

Sebab itulah, sehinggalah malam kelmarin, Azizan masih tegas dengan pendiriannya untuk menerajui Kedah biar pun mendapat pelbagai serangan dan tekanan.

Azizan tidak berasa tergugat atau terancam sebaliknya pihak-pihak yang cuba menjatuhkan beliau pula yang resah gelisah. Mereka menjadi tidak menentu kerana segala usaha bagi menyingkirkan Azizan pada masa ini menemui jalan buntu.

Krisis antara Azizan dan Phahrolrazi sepatutnya diselesaikan oleh dua pemimpin itu secara musyarawarah tetapi malangnya dalam kekalutan itu penulis diberitahu 'mainan politik' dari dalam dan luar parti turut dirancakkan. Kesudahannya, Azizan bukan sahaja terpaksa menyelesaikan isu pelantikan Exco tetapi lebih besar daripada itu menahan arus serangan bagi memastikan beliau tidak lagi berada di tampuk pemerintahan kerajaan negeri Kedah.

Soalnya, kenapa Azizan hendak disingkirkan? Kenapakah begitu berani Pas kawasan Kuala Kedah memberikan kata dua kepada pemimpin mereka sendiri?

Segala-galanya berlaku kerana ada mainan pihak luar yang mahu menjatuhkan Azizan, sebab itulah Dewan Ulama Pas pusat dan Kedah dalam satu kenyataan bersama menegaskan, dewan itu sama sekali tidak menyokong sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan Pas negeri Kedah.

Kenyataan itu sebagai amaran bukan sahaja kepada pihak luar tetapi juga puak Anwarinas yang berusaha menjadikan Azizan mangsa kedua disingkirkan selepas mereka melakukannya ke atas Datuk Dr. Hasan Ali di Selangor.

Tindakan Dewan Ulama itu membuktikan bahawa memang ada usaha untuk menyingkirkan Azizan sebab itulah, mereka terpaksa mengeluarkan kenyataan yang dilihat berbentuk amaran itu.

Bagaimanapun, tidak kira apa juga penyelesaian yang dicapai dalam isu konflik di Kedah tetapi ia sama sekali tidak akan mampu memulihkan imej Pas.

Selain itu ia juga tidak akan berupaya menyatukan semula Pas negeri itu yang berantakan. Keadaan Pas Kedah ibarat gelas yang pecah tetapi cuba disatukan dengan menggunakan pelekat tetapi 'kerosakannya' tetap dapat dilihat.

Begitulah juga keadaan di negeri berkenaan, Pas pusat mungkin boleh mengaburi penyokong mereka kononnya konflik sudah selesai, puak yang bertelagah bersedia bertaut kembali.

Tetapi rakyat pasti akan memahami semua itu hanya retorik politik semata-mata. Gerakan menjatuhkan Azizan tidak dapat dibendung lagi dan Azizan pun sudah tidak boleh bekerja dengan dua Exco yang menolak dilanjutkan perkhidmatan mereka.

Sebab itulah ketika pelantikan semula lapan Exco baru-baru ini, Azizan menyerahkan portfolio kedua-dua mereka kepada orang lain. Kalau Azizan masih mahukan mereka, sudah pasti beliau tidak akan berbuat demikian sebaliknya akan menunggu kedua-dua Exco itu menamatkan tempoh perkhidmatan mereka.

Justeru jelaslah, Pas pusat boleh berusaha untuk menggambarkan konflik di Kedah sudah diselesaikan secara 'sebulat suara' tetapi luka akibat apa yang berlaku masih berdarah dan sukar disembuhkan. Politik tetap politik ia berkaitan dengan pengaruh, perebutan kuasa dan kedudukan, apatah lagi bagi mereka yang baru meraih kuasa secara mengejut. Oleh itu tidak perlulah Pas merasakan semua perkara itu tidak berlaku kepada pemimpin mereka.

Ia kerana bak kata bekas Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Prof. Madya Mohd. Noor Deris, ''Konflik Pas Kedah adalah berkat doa daripada pihak yang sayangkan negara dan akhirnya Tuhan menunjukkan wajah sebenar Pas.'' Utusan

0 comments:

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.