Sunday, March 25, 2012


UMNO Pulau Pinang yakin memenangi sekurang-kurangnya 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang. 

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Azhar Ibrahim, berharap komponen Barisan Nasional (BN) bekerja kuat dan menyusun strategi bagi memenangi lapan kerusi DUN lagi, sekali gus membolehkan BN membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.


Katanya, BN masih mempunyai peluang merampas kembali kerusi yang dimenangi pembangkang pada pilihan raya umum lalu.

“Kita menjangkakan UMNO akan mendapat dua atau tiga kerusi DUN tambahan pada PRU-13 nanti berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap sentimen pengundi berhubung isu semasa. 

“Semua komponen masih ada harapan di Pulau Pinang dan kita tidak boleh berputus asa untuk terus bekerja memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya selepas melancarkan Program Belia Pewaris Nusa di sini, semalam. 

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN, tetapi BN hanya memenangi 11 kerusi, yang semuanya diwakili oleh calon daripada UMNO, manakala GERAKAN, MCA dan MIC tewas di semua kerusi yang dipertandingkan. 

Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Penaga, berkata pelbagai isu membabitkan barisan kepemimpinan DAP, PKR dan PAS di peringkat negeri yang menyebabkan sentimen pengundi Pulau Pinang beralih kepada BN. 

Katanya, selain masalah dihadapi pembangkang, faktor gerak kerja cekap dan pelbagai program bersama orang ramai yang dianjurkan UMNO secara berterusan menyebabkan BN mendapat momentum kembali di negeri ini. 

“Cuma yang UMNO perlukan sekarang ialah semangat dan kerja kuat daripada rakan kita dalam GERAKAN, MCA, MIC dan PPP (Parti Progresif Penduduk) untuk menawan hati pengundi bukan Melayu. 

“Sasaran sekurang-kurangnya lapan kerusi DU. Kalau boleh GERAKAN empat kerusi, MCA (empat) serta MIC dan PPP (satu)... Pulau Pinang pasti kembali ke tangan BN,” katanya.  

0 comments:

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.