Saturday, March 31, 2012


Selaku Presiden JATI saya terpanggil untuk memberi ulasan terhadap program Tafaqquh Ilmi yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Johor dengan kerjasama Jabatan Mufti Johor yang bertajuk, “Pemantapan Aqidah: Bahaya Liberalisme dan Pluralisme dan Ancaman Kristianisasi Terhadap Umat Islam – Apa Peranan Guru?”

Sebagai orang yang terlibat secara langsung dalam isu yang akan dibincangkan dalam pertemuan tersebut, JATI memandang tinggi langkah pro-aktif yang diambil oleh kedua-dua jabatan di atas.

Saya berpendapat masa dan ketikanya sangat bertepatan bagi mana-mana pihak menganjurkan program sedemikan.

Pada masa yang sama saya memandang berat tindakan setengah pihak yang mempertikaikan program tersebut kononnya program sedemikian akan menimbulkan ketegangan agama dan kaum.

Lebih parah daripada itu mereka menuduh langkah ini adalah sebahagian daripada agenda pihak tertentu untuk mendapatkan keuntungan politik.

Saya hairan bagaimana pihak-pihak tersebut mengenepikan usaha murni sebegini dan cuba menggambarkan bahawa ancaman aqidah bukan merupakan suatu isu besar yang perlu ditangani secara bersungguh-sungguh.

Saya juga hairan bagaimana seorang bekas pimpinan gerakan Islam memandang remeh program yang dianjurkan sedangkan pandangan-pandangan mengenai isu ini yang biasa diutarakan mengatakan bahawa isu murtad sudah sampai ke tahap yang begitu serius.

Saya menjadi bertambah hairan apabila pimpinan PAS sendiri melalui Naib Presidennya melihat isu ini sebagai satu mainan politik.

Saya sedih dengan tindakan yang terpaksa diambil oleh penganjur menggugur perkataan Kristianisasi daripada tajuk asal program atas desakan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang lebih suka supaya masyarakat mengambil sikap lepas tangan.

Bagi saya ancaman Kristianisasi merupakan ancaman yang nyata yang tidak perlu diselindungkan.

Saya sendiri mempunyai pengalaman peribadi dalam hal ini. Ancaman Kristianisasi di Selangor seperti yang berlaku dalam kes di DUMC sesungguhnya sangat membimbangkan.

Salah satu daripada bukti wujudnya usaha mengkristiankan orang-orang Islam akan saya bentangkan di dalam sidang media hari Isnin ini.

Suka saya ingatkan bahawa ancaman Kristianisasi bukanlah merupakan propaganda mana-mana pihak seperti yang dituduh sebaliknya ia adalah peringatan Allah SWT sendiri melalui Firman-Nya di dalam Kitab Suci Al-Quran (Al-Baqarah: 120)

"Orang-orang Yahudi (Jews) dan Nasrani (Christians) tidak sekali-kali akan redha atau suka kepadamu sehinggalah engkau menurut agama mereka".

0 comments:

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.