Thursday, February 23, 2012


Bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Ustaz Hasan Basri menyifatkan kenyataan rasmi Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkenaan isu Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong keselamatan Israel sebagai kenyataan pilih ‘jalan selamat’.
Katanya, isu sokongan kepada Israel bukan lagi isu perbezaan pendapat tetapi ia merupakan isu akidah dan Pas tidak boleh lagi seiring dengan Anwar, apatah lagi mengiktirafnya sebagai Ketua Pembangkang.
“Allah telah menjelaskan dengan terperinci dalam surah al-Baqarah dan al-Ma’idah mengenai Israel, ini bukan isu perbezaan pendapat mahupun soal kemanusiaan, ini soal akidah bagi umat Islam dan menyokong sesuatu yang haram adalah perbuatan haram.
“Anwar bukan sahaja menyokong, malah beliau konsisten mempertahan sokongan tersebut di mana Pas berada dalam jemaah itu. Ini soal akidah, dalam bab ini Islam menuntut kita bermufarakah (meninggalkan) pemimpin yang menentang tuntutan akidah.
“Tindakan Pas sekadar menyatakan pendirian tidak cukup kerana mereka masih lagi bersama. Malah saya kecewa dengan ‘kenyataan selamat’ Pas yang dilihat lebih mementingkan undi berbanding akidah,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia
Hassan Basri berkata demikian ketika mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz bahawa Pas tidak akan sesekali mengiktiraf Israel kerana ia perbuatan haram selepas Mursyidul Am itu mengadakan pertemuan dengan Anwar.
Bagaimanapun, berbeza dengan nada keras sebelum ini yang memberi kata dua kepada Anwar, Nik Aziz memberitahu yang beliau memahami penjelasan ketua pembangkang dan terserah kepadanya untuk menerima pendirian Pas atau sebaliknya.
Hasan Basri berkata, jika dalam isu yang membabitkan akidah itu pun Pas gagal untuk mengambil langkah sebagaimana disarankan Islam, apatah lagi mahu memperjuangkan Islam dalam Pakatan Rakyat.
“Kita kena kembali kepada al-Quran, jangan gadaikan akidah semata-mata demi kepentingan politik. Konsep kerjasama ini sepatutnya meletakkan Islam sebagai keutamaan tetapi jika dalam isu Israel pun Pas tidak boleh tangani, macam mana nak tegakkan Islam?
“Anwar jauh tersasar dan pemimpin sebegini tidak boleh dianggap imam kepada jemaah. Sebab itu, Islam menyarankan kita supaya bermufarakah pemimpin sebegini kerana jika terus bersama hanya kerana undi, kita terpalit sama,” katanya.
Berikut dilampirkan kenyataan penuh Nik Aziz selepas dan sebelum pertemuan dengan Anwar :
DATUK SERI ANWAR, PALESTIN DAN ISRAEL
Pagi semalam, sekitar jam 9.30, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah datang menemui saya. Tujuannya adalah untuk menjelaskan maksud kenyataannya berhubung ‘keselamatan Israel’ yang disiarkan oleh Wall Street Journal pada Januari lalu.
Mungkin juga beliau datang setelah mengetahui keputusan Majlis Syura Ulamak PAS minggu lepas yang menggesa beliau menarik balik kenyataan dalam Wall Street Journal itu yang difahami sebagai menyokong Israel.
Majlis Syura Ulamak juga menggesa, sekiranya kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka beliau dinasihatkan agar mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall Street Journal bagi membersihkan nama.
Pada pertemuan itu saya ditemani oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Ia berlangsung dalam suasana harmoni. Datuk Seri Anwar telah menjelaskan kesemua isu yang telah berbangkit.
Memahami penjelasan Datuk Seri Anwar, di sini saya mengulangi pendirian PAS sebagaimana diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak, iaitu PAS sekali-kali tidak mengiktiraf negara haram Israel. Maka PAS tetap istiqamah menyokong perjuangan rakyat Palestin yang dihina di bumi sendiri. Terserahlah kepada Datuk Seri Anwar untuk menerima pendirian PAS ini.
Bagi saya, pendirian PAS adalah wajar kerana kewujudan negara haram Israel merupakan suatu kezaliman, tanpa peri kemanusiaan dan menafikan hak umat Islam, malah merampas hak seluruh rakyat Palestin. Tambahan pula, tindakan penguasa Israel yang tidak habis-habis menzalimi dan membunuh rakyat Palestine, termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua. Justeru, adalah haram menerima kewujudan negara Israel yang haram.
Pada saya, Datuk Seri Anwar memahami pendirian PAS yang tidak mengiktiraf negara Israel dan menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin. Oleh kerana itu tidak berbangkit PAS telah menggadai prinsip perjuangan tatkala bersama Pakatan Rakyat. Apa pun saya yakin, pihak Pakatan Rakyat tetap sepakat dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan tanah airnya daripada cengkaman Israel yang zalim itu.
Justeru pada saya, adalah haram bersekongkol dengan pihak Israel dalam apa bentuk hubungan sekalipun.
Nik Abdul Aziz Nik Mat.
PNB Darby Park, Kuala Lumpur.
29 Rabi’ul Awal 1433 H | 22 Februari 2012

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengulangi pendirian yang berterusan dan tetap dengan prinsip, sekali-kali tidak mengiktiraf negara haram Israel sebagaimana yang juga ditegaskan menerusi pendirian di kalangan gerakan Islam antarabangsa, serta menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin yang dihina di bumi sendiri.
Negara haram Israel diwujudkan oleh kuasa besar dunia secara zalim tanpa sifat perikemanusiaan dan sepatutnya ditentang oleh semua peradaban manusia. Wajib ke atas umat Islam bukan sahaja di bumi Palestin malah seluruh dunia, berusaha sedaya upaya untuk membebaskan Palestin sepenuhnya. Adalah haram menerima kewujudan negara yang haram. Maka PAS menolak penyelesaian dua negara, satu untuk rakyat Palestin dan satu lagi bernama Israel untuk Yahudi Zionis.
Keselamatan negara haram Israel juga bukanlah menjadi tanggungjawab yang dipikul oleh orang Arab atau umat Islam, kerana ditegakkan negara haram itu sendiri di atas dasar kezaliman. Islam sebagai agama yang sangat mementingkan hak asasi, keadilan, keharmonian dan hubungan baik antarabangsa, tentu sekali tidak dapat berkompromi dalam isu kezaliman ini.
Saya, selaku Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dengan dipersetujui oleh seluruh ahli Majlis Syura Ulama PAS, menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya seperti dilaporkan di Wall Street Journal. Sekiranya kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka saya dan seluruh ahli Majlis Syura Ulama menasihatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall Street Journal bagi membersihkan nama beliau.
Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
13 Februari 2012/ 20 Rabiul Awwal 1433H

2 comments:

Anonymous said...

apa kata puak2 pas? telo sudah ilang ka takut dgn bang nuar? nik ajis pun tak bole buat apa2 dgn dajal tu..


Aryan Brotherhood

Anonymous said...

Anuwar dengan mudah dan bangga dapat memutarbelitkan Nik Aziz. itulah kelebihan Anwar pandai berhujah. sehingga yang salah jadi benar.

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.