HOT : KALAU ANWAR TAK MAMPU BUAT PERKARA INI, LEBIH BAIK DIAM...??


Kenyataan Anwar Ibrahim seperti dilaporkan di Wall Street Journal 26 Januari 2012 mengundang kontroversi. Antara lain menyebut “I support all efforts to protect the security of the state of Israel” dan dalam terjemahan mudahnya “saya sokong semua usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel”. Kenyataan tersurat ini sudah jelas untuk difahami dan analisis tersirat lebih memperjelaskan maksud ungkapannya.

Sepatutnya Anwar menyebut begini “I support all efforts to protect the security of the state of Paletine” atau terjemahan mudahnya “saya sokong semua usaha untuk melindungi keselamatan negara Palestin ” Kalau ini dibuat orang tidak pertikaikan kenyataan dan pendiriannya.

Pertama, ia terbit di Wall Street Journal yang berpengaruh bukannya akhbar Utusan Malaysia yang sering memeningkan kepalanya. Kalau nak saman tidak betulnya kenyataan itu, samanlah Wall Street Journal bukannya Utusan Malaysia. Utusan Malaysia hanya melaporkan apa yang terjadi. Kalau ia memberi reaksi yang tidak menguntungkan kepadanya itu bukan salah Utusan Malaysia tetapi salah diri sendiri.

Kedua, sejak Anwar dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan kemudiannya UMNO lagi, orang mengetahui pendirian Anwar terhadap isu Palestin amat jelas dan terang benderang. Penjelasan daripada Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat Dr. Mohd Nur Manuty yang juga bekas Presiden ABIM lebih mengelirukan kerana Duta Palestin di Kuala Lumpur tidak boleh menerima kenyataan Anwar dan Dr. Azzam Tamimi seorang tokoh gerakan Islam yang gigih memperjuangkan isu Palestin tidak boleh bersetuju dengannya. Dr. Mohd. Nur Manuty hanya memberi justifikasi ketuanya tanpa asas yang kukuh.

Anwar tahu bahawa keselamatan negara Israel banyak bergantung kepada sokongan Amerika Syarikat. Pelobi zionis sentiasa memastikan sebarang calon untuk menjadi Presiden Amerika Syarikat mesti akur dengan strategi bahawa keselamatan negara Israel mesti dilindungi. Tidakkah kenyataan Anwar ini memberi maksud tersirat yang jelas.

Semua orang tahu Anwar rapat dengan Paul Wolfowitz yang pernah menjawat Timbalan Setiausaha Pertahanan AS dan dikenali sebagai arkitek Perang Afghanistan/Iraq. Anwar juga rapat dengan Shaha Ali Riza teman wanita Wolforwitz dan pernah menulis surat kepada Robin Celeveland iaitu penasihat undang-undang Wolfowitz di Bank Dunia pada 1 Oktober 2006 yang meminta agar Shaha Ali Riza dipindahkan ke Foundation For The Future di mana Anwar menjadi orang kuatnya.

Anwar juga ada hubungan dengan Martin Indyk bekas Duta Amerika Syrikat ke Israel dan bekas Timbalan Pengarah Penyelidikan American Israel Public Affair Committee (AIPAC) suatu kumpulan pelobi pro-Israel di Amerika Syarikat. Anwar rapat dengan Indyk dan sering terlibat bersama dengan program-program anjuran Saban Center for Middle East Policy Center, Institut Brookings.

Anwar juga rapat dengan James Wolfenshon, bekas Presiden Bank Dunia yang berasal dari keluarga Yahudi di England. Pada 2005, Setiausaha Negara Amerika, Condoleeza Rice melantik Wolfensohn dalam utusan khas di Gaza bagi membantu memperkuatkan kedudukan Israel.

Semasa menjadi Presiden Bank Dunia, James Wolfensohn telah melantik Anwar (ketika itu Menteri Kewangan) sebagai ahli Committee International Finance Corporation, World Bank/IMF pada 1997. Pada 24 Julai 2008, Wolfensohn bersama dua tokoh Yahudi (Paul Martin dan Michel Camdessus) menggesa agar pertuduhan liwat ke atas Anwar digugurkan.

Anwar juga amat rapat dengan William Cohen berasal dari keluarga Yahudi di Rusia yang merupakan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Bill Clinton. Cohen kemudian menjemput Anwar secara peribadi ke Pentagon, Virginia pada 16 April 1998. Pada tahun 1999, Cohen mengecam Malaysia dan menggesa pertuduhan liwat ke atas Anwar digugurkan.

Beberapa bukti yang disebutkan memadai untuk kita memahami maksud tersirat kenyataan Anwar itu. Pertama Anwar bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Kedua, Anwar menghadapi isu integriti dan kredibiliti yang serius mengenai masalah peribadinya. Kata pepatah, kalau tidak berada-ada masakan tempua bersarang rendah. Sudah tentu ada maksud tersirat kenyataan itu dibuat.

Anwar tahu bahawa masalah orang Palestin amat memedihkan. Kerajaan Malaysia mengambil sikap yang jelas mengenai isu Palestin. Semasa Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dulu pun sikap yang sama diambil. Apakah isu Palestin dulu tidak sama dengan sekarang.

Apa maknanya kenyataan Anwar untuk melindungi keselamatan negara Israel sedangkan keadilan tidak berlaku terhadap orang Palestin sendiri. Banyak organisasi sukarela membantu rakyat Palestin dalam pelbagai cara. Pekerja NGO ini sanggup berkorban untuk membantu saudara seagama mereka di Palestin. Apakah Anwar tidak rasa sensitif dengan prihatin mereka ini. Pas umpamanya tetap istiqamah memperjuangkan nasib orang Palestin. Haji Hadi Awang sendiri terlibat dalam jawatankuasa memperjuangkan nasib orang Palestin. Apakah Anwar tidak tahu pendirian dan penglibatan orang Pas sekian lama. Sebab itu pendirian ulama Pas amat kritikal mengenai kenyataan Anwar ini.

Anwar janganlah membuat dalih-dalih baru untuk menjustifikasikan kenyataannya termasuk di BBC. Anwar harus bersikap jujur kepada dirinya dan kepada umat Islam. Anwar boleh membohongi seseorang dalam suatu masa tetapi Anwar tidak boleh membohongi semua orang pada setiap masa. Orang yang berpelajaran, berfikiran dan bersikap terbuka terhadap sesuatu isu, mereka mengkaji tidak saja apa yang tersurat tetapi meneliti apa yang tersirat.

Anwar dulu berpendirian bahawa sebagai pemimpin kita kena bersih dan kelihatan bersih. Orang yang pernah berada dalam kepimpinan Anwar masih berpegang dengan prinsip itu. Bila kredibiliti Anwar dicabar dengan pelbagai tuduhan yang serius, orang ini mengharapkan Anwar membersihkan namanya. Ia tidak berlaku. Ini menyebabkan ramai kawan Anwar memilih untuk meninggalkannya.

Anwar memang pandai bercakap dan bijak berpolitik. Tetapi kawan-kawannya pun boleh menilai dengan mengambil pendirian tentang apa yang Anwar cakapkan dan helah politik yang Anwar buat. Kecenderungan Anwar sekarang melatih generasi baru yang masih belum tahu siapa Anwar sebenarnya. Lama kelamaan bila mereka tahu siapa Anwar sebenarnya, mereka pula meninggalkan perjuangannya.

Kembalilah kepada Allah. Allahlah tempat kita mendapat pedoman dan petunjuk. Dengan manusia kita boleh berbicara dengan segala helah tetapi dengan Allah, amat mengetahui segalanya -UM
HOT : KALAU ANWAR TAK MAMPU BUAT PERKARA INI, LEBIH BAIK DIAM...?? HOT : KALAU ANWAR TAK MAMPU BUAT PERKARA INI, LEBIH BAIK DIAM...?? Reviewed by Empayar Pemuda on 12:37 PM Rating: 5

1 comment:

  1. Nak cari dana. Duit yang tipu dulu dulu tu dia punya untuk kegunaannya. Itu bahan bakar api neraka dia simpan untuk akhirat kelak. Nanti tak cukup bahan bakar daging dia tak 'well done' lak.

    Mana boleh guna untuk kempen.

    Haji Hadi dan LKS pun dah kirim pesan yang mereka pun ingin bersama dalam mendapatkan dana itu.

    Dulu dulu pilihanraya PAS macam tak cukup duit. DAP pun sama. Tapi yang terbaru meriah betul. Mana datang duit banyak2.

    Sebab tu PAS dan DAP tak boleh buat apa dengan Anuwar sebab dia yang melobi dana.

    Yahudi pun ada banyak duit apa gunanya kalau cengkaman kuasa tidak di kuatkan lagi.

    ReplyDelete

Popular

Powered by Blogger.