Tuesday, February 7, 2012


Barisan Nasional (BN) negeri mempertikaikan tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang membayar RM14 juta daripada jumlah ganti rugi RM29.36 juta kepada pengusaha kuari, Tang Hak Ju pada 2010 ketika kes itu masih dibicarakan di Mahkamah Rayuan. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja BN negeri, Datuk Dr Teng Hock Nan, berkata Ketua Menteri, Lim Guan Eng sepatutnya menunggu terlebih dulu keputusan Mahkamah Rayuan sebelum membuat sebarang pembayaran ganti rugi berhubung kes berkenaan. 

“Saya langsung tidak nampak asas tindakan Guan Eng apabila beliau terus membayar ganti rugi seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang sedangkan Mahkamah Rayuan masih membicarakannya dan hanya membuat keputusannya bulan lalu.

“Tindakan Guan Eng itu jelas sekali beliau lebih suka menggunakan wang rakyat yang diambil dari dana negeri, kemudian mempolitikkan isu berkenaan demi kepentingan DAP, " katanya pada sidang media di sini, semalam.


Hadir sama, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir.


Pada 2005, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memerintahkan kerajaan negeri membayar ganti rugi RM29.36 juta berserta kadar faedah lapan peratus setahun kepada pengusaha kuari terbabit.

Mahkamah Rayuan kemudian mengurangkan bayaran ganti rugi kepada RM500,000 dan kemudian pengusaha kuari terbabit memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, Setiausaha BN Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata tuduhan Guan Eng dan pemimpin kerajaan negeri kes berkenaan sebagai skandal tidak wajar dan boleh mengelirukan orang ramai mengenai perkara yang sebenarnya.


“Isu itu timbul apabila kerajaan negeri sebelum ini membuat keputusan selepas diberikan maklumat yang salah oleh pegawai bertugas. Bagaimanapun, kesalahan itu dapat dikesan dan kerajaan negeri cuba membetulkannya semula.


“Perkara ini boleh berlaku kepada mana-mana kerajaan termasuk kerajaan yang diterajui Guan Eng dan ia bukannya skandal atau penipuan dan perkara ini sudah pun disahkan oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), " katanya.

0 comments:

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.