Tuesday, February 14, 2012


1. Anwar telah menyatakan kepada BBC, iaitu kepada bangsa Barat, bahawa undang-undang Malaysia lapok, ketinggalan zaman.

2. Tentulah Anwar tahu bahawa lapok dan ketinggalan zaman, bagi orang Barat bermakna tidak seperti apa yang terdapat di Barat sekarang. Sejak revolusi Perancis, slogan Liberte`, Egalite`, Fraternite`, iaitu Kebebasan, Persamaan dan Persaudaraan menghantui fikiran Barat sehingga apa sahaja yang tidak menepati slogan ini mesti ditukar atau dihapus.

3. Oleh kerana BBC bertanya berkenaan kes liwat Anwar, maka undang-undang yang didakwa jumud oleh Anwar tentulah berkenaan larangan terhadap hubungan seks di luar nikah.

4. Apakah undang-undang yang tidak lapok berkenaan seks yang terdapat sekarang di Barat? Bermula dengan keagongan konsep “freedom” atau bebas dan persamaan, mereka menjunjung tinggi hak yang sama antara lelaki dengan perempuan. Yang mula dituntut oleh kaum perempuan ialah hak mengundi dalam pilihanraya. Dan hak ini telah diberi kepada mereka seperti yang diberi kepada lelaki.

5. Kemudian ia melarat kepada hak yang sama dalam pakaian. Ini dituruti dengan kebebasan seks. Jika lelaki sebelum atau selepas kahwin boleh adakan seks dengan mana-mana perempuan kenapa perempuan tidak boleh dengan mana-mana lelaki. Atas nama kebebasan dan persamaan maka masyarakat pun memberi hak ini kepada mereka. Maka siapa sahaja, lelaki atau perempuan boleh tidur dengan siapa sahaja bila-bila sahaja. Dengan ini institusi perkahwinan antara lelaki dengan perempuan dianggap tidak penting lagi.

6. Sebaliknya institusi perkahwinan dan kekeluargaan di beri makna yang baru. Bersekedudukan di takrif sebagai berkeluarga. Bila bosan dengan pasangan, tukar sahaja. Penceraian tidak diperlukan lagi. Siapa yang menjadi bapa kepada anak tidak penting.

7. Dimasa yang sama, sekatan terhadap apa jenis seks yang boleh memuaskan nafsu dihapuskan juga atas nama kebebasan. Dengan itu lelaki boleh meliwat lelaki dan perempuan mengadakan hubungan seks dengan perempuan.

8. Kenapa harus hubungan seks dilakukan antara dua orang sahaja? Kenapa tidak beramai-ramai. Dan seks beramai-ramai pun diadakan.

9. Kemudian diadakan pula perkahwinan antara lelaki dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan. Pendek kata apa sahaja yang dilarang oleh agama, adat atau undang-undang yang menyekat nafsu, hendaklah dihapuskan. Segala yang menghalang dianggap lapok dan tidak sesuai dengan kebebasan dan persamaan. Dengan bangganya orang Barat mempamirkan pengamalan seks mereka sebagai hak asasi manusia.

10. Seperti biasa apa yang dicipta oleh Barat dianggap oleh mereka sebagai baik bagi semua manusia. Dengan itu mereka melancarkan usaha untuk mengembangkan konsep kebebasan dan persamaan mereka berkenaan seks.

11. Tentangan yang terkuat terhadap seksualiti merdeka ini datang dari orang Islam. Untuk mengatasi tentangan ini mereka mengenalpasti orang Islam yang boleh menjayakan perjuangan mereka. Bermula dengan tuntutan kebebasan yang mudah diterima, umpamanya hak asasi manusia, hak memilih Kerajaan (demokrasi), hak bersuara, kebebasan media, kempen Barat sudah sampai kepada serangan terhadap nilai-nilai moral orang Islam, pegangan mereka kepada agama, adat dan undang-undang yang menghalang kebebasan hubungan seks.

12. Undang-undang biasa dan undang-undang Islam digambarkan sebagai jumud dan perlu diganti dengan undang-undang Barat. Berzina dan meliwat disaran supaya menjadi sebahagian daripada hak asasi manusia termasuk hak asasi orang Islam.

13. Kita dapati Barat dengan kerjasama orang Islam tertentu sudah berjaya kerana di Malaysia sudah ada orang Islam yang anggap segala sekatan terhadap aneka jenis seks sebagai menidakkan kebebasan semulajadi manusia, sebagai zalim, terutama kepada pembesar politik. Dan ramai sudah orang Islam di Malaysia yang percaya ahli politik seperti inilah yang patut dipilih untuk memerintah negara Malaysia. Dengan kuasa yang diberi kepada mereka ini maka segala yang lapok di negara ini akan diganti dengan pendapat semasa termasuk merdeka seks.

14. Walaupun Barat menerima zina dan liwat sebagai perkara biasa, tetapi mereka tidak dapat terima paksaan keatas mangsa zina atau liwat. Sebab itu apabila seorang wanita melaporkan yang pengarah IMF Strauss Kahn telah merogolnya pihak berkuasa terus tangkap Strauss Kahn dan jawatannya dilucutkan.

15. Di Malaysia juga apabila lapuran diterima dari mangsa yang dianya telah di liwat, tentulah wajar tertuduh dikenakan tindakan undang-undang. Ini sudah tentu tidak lapok kerana Barat juga mengamalkannya.

16. Disini ingin saya jelas bahawa “teknikal” bukan bermakna tidak. Jenayah berlaku, bukan tidak berlaku. Hanya hakim tidak dapat hilangkan keraguannya terhadap bukti yang tertuduh melakukannya. Mungkin orang lain!! Kenapa mangsa tidak menuduh orang lain, wallahuwalaam. CheDet

0 comments:

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.