Thursday, January 26, 2012


Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sering memfailkan saman terhadap pihak-pihak yang mengkritiknya jelas bertentangan dengan imej demokrasi dan hak asasi manusia yang cuba diperjuangkan Ketua Pembangkang itu.

Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST), Dr. Chandra Muzaffar menegaskan, tindak tanduk Anwar itu memperlihatkan beliau tidak faham dan tidak menghormati hak bersuara pihak lain.

Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menambah, hakikatnya Anwar tidak sanggup dikritik oleh pihak lain sedangkan kritikan adalah perkara biasa bagi seorang ahli politik.

‘‘Jika dia benar seorang pejuang hak asasi manusia kenapa dia menggunakan mahkamah untuk menutup mulut orang lain.

‘‘Kalau seseorang menyaman orang lain kerana orang itu mengkritik dia, bermakna dia tidak sanggup menerima kritikan dan usaha dia untuk menutup mulut orang lain ialah dengan saman,’’ katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Anwar yang hanya berani menyaman media seperti Utusan Malaysia berbanding mengambil tindakan sama terhadap beberapa bekas pemimpin PKR.

(PKR) yang menjadi antara terawal mendedahkan persoalan moral dan akhlak Anwar secara terang-terangan kepada umum.

Chandra berkata, ahli politik yang matang akan memberi jawapan atau berbahas kepada setiap kritikan yang dilemparkan oleh pihak-pihak tertentu.

‘‘Kalau sudah dalam gelanggang politik pendedahan isu-isu moral seseorang ahli politik adalah perkara biasa, itu tidak dapat dielakkan,’’ tegasnya.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, sikap Anwar yang sering memfailkan kes saman memperlihatkan beliau sudah hilang kekuatan diri.

‘‘Ini adalah mainan Anwar, sudah kehilangan modal dan tidak ada kerja lain, ini budaya dia,’’ katanya.
Beliau menambah, Anwar juga dilihat bimbang lebih banyak isu moralnya dibongkar jika beliau mengheret bekas anggota PKR ke mahkamah dalam isu yang sama. 

‘‘Barangkali kalau dia saman mereka, lebih banyak hal peribadinya yang akan didedahkan dan dibongkar dalam mahkamah,’’ katanya. UM

0 comments:

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.