Sunday, February 6, 2011

Laporan Terkini - 6.2.2011 (4.15ptg)

Penerbangan Ihsan yang akan membawa kumpulan pertama dari Jeddah akan tiba di KLIA pada Selasa 7.2.2011 jam 8.30 pagi. Dijangka YAB Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak akan bersama-sama menyambut detik bersejarah ini. Kami akan mengemaskini informasi ini dari masa ke masa.
 
''Dicampak ke Jeddah macam binatang,'' tertera ayat daripada khidmat pesanan ringkas (SMS) yang jelas memaparkan rasa tidak puas hati seseorang mengenai layanan yang diterimanya semasa misi pemindahan pelajar Malaysia di Mesir ke Jeddah, Arab Saudi.

Mesej ringkas tersebut menjadi perbualan di kalangan petugas dan sukarelawan yang membantu menguruskan pemindahan kira-kira 11,400 pelajar yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Mesir. Itu bilangan yang berdaftar. Dianggarkan lebih 5,000 lagi yang berada di Mesir tetapi tidak mendaftarkan diri mereka.

Bagaimanakah rungutan sedemikian boleh timbul tatkala semua pihak di Kaherah dan Jeddah memerah tenaga bagi memastikan kelancaran misi Ops Piramid tersebut?

Pemerhatian Mingguan Malaysia di Jeddah mendapati sistem sokongan di situ adalah memuaskan. Para pegawai Kedutaan Malaysia diketuai Dutanya, Datuk Dr. Mohd. Fakhirudin Abdul Mukti yang dibantu oleh pelbagai agensi kerajaan khususnya Tabung Haji telah mengatur penyediaan bas yang selesa menuju ke Madinatul Hijjaj, iaitu kompleks haji yang boleh memuatkan 2,000 orang pada satu-satu masa.

Tabung Haji juga telah mengenal pasti maktab dan hotel tertentu di sekitar Jeddah untuk memuatkan keseluruhan 11,400 pelajar Malaysia dari Kaherah. Bagi Tabung Haji, ia memiliki pengalaman mengendalikan 35,000 jemaah haji, jadi setakat 11,400 orang adalah dalam bidang keupayaannya.

Sebagai lokasi penempatan bagi jemaah haji juga, Madinatul Hijjaj adalah sebuah kompleks penginapan yang dilengkapi dengan keperluan asas merangkumi klinik perubatan dan restoran makanan.

Ketibaan rombongan media menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia C-130 pada tengah malam Khamis adalah serentak dengan ketibaan kumpulan pertama pelajar yang dikeluarkan dari Mesir melalui Penerbangan Malaysia dan AirAsia. Kami bersama-sama menaiki bas dari lapangan terbang Jeddah ke Madinatul Hijjaj.

Pada saat dan tika artikel ini ditulis, operasi pemindahan dilakukan serentak menerusi dua pesawat komersial iaitu masing-masingnya dari MAS dan AirAsia; tiga pesawat Charlie milik TUDM dan sebuah kapal TLDM.

Kesukaran sememangnya wujud. Ini kerana ia adalah operasi pemindahan besar-besaran yang julung kalinya dilakukan oleh kerajaan Malaysia dari sesebuah negara. Apatah lagi, di peringkat permulaan hanya terdapat lapan pegawai di Kedutaan Mesir yang ditugaskan mengatur urusan ketibaan dan pelepasan pesawat, mengendalikan senarai pelajar dalam bilangan sebegitu besar dan tidak dilupakan, reaksi daripada negara tuan rumah (Mesir) serta negara yang memberi tumpang (Arab Saudi).

Beban

Hanya pada Jumaat, bantuan tenaga manusia tiba bagi mengurangkan sedikit beban tugas pegawai Kedutaan Mesir. Dua pegawai Wisma Putera dari ibu pejabat turut sama mengikuti penerbangan yang tidak selesa tetapi cekap menerusi pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia Charlie C-130 dari Kuala Lumpur pada 9 malam Rabu lalu ke Maldives, kemudian ke Abu Dhabi sebelum ke Jeddah dan akhirnya tiba di Kaherah pada pukul 6 petang waktu tempatan (hampir 48 jam untuk tiba ke destinasi!).

Bantuan juga didatangkan dari Kedutaan Malaysia di Kuwait, Jordan dan Libya selain sebilangan pelajar Malaysia yang menawarkan diri menjadi sukarelawan. Turut serta ialah petugas dari Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) yang membantu mengendalikan urusan makanan dan minuman sepanjang pelajar menanti giliran menaiki pesawat di lapangan terbang Kaherah.

Malah kehadiran bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim juga membantu melancarkan lagi usaha memberi keselesaan kepada para pelajar terbabit. Kami melihat kedua-dua pemimpin tersebut mengeluarkan duit sendiri untuk mengadakan peralatan atau makanan tambahan yang diperlukan.

Menurut wartawan TV3, Razali Awang yang tiba di sini sejak empat hari lalu, beliau telah menyaksikan para petugas kedutaan bertungkus-lumus selama 24 jam menguruskan operasi pemindahan besar-besaran tersebut.

Malah, ia disaksikan sendiri oleh Utusan Malaysia yang mendapati empat pegawai kedutaan dibantu oleh pelajar sukarelawan masih terus menyusun dan mengatur senarai pelajar sehingga 5 pagi waktu tempatan. Razali berkata, mereka telah bekerja sejak pagi lagi tanpa henti.

Pegawai-pegawai kedutaan telah bekerja keras bagi memastikan keselesaan semua pelajar. Hinggakan terpaksa melanggar perintah berkurung demi untuk membawa bekalan makanan kepada para pelajar di lapangan terbang. Terdapat kes terpencil bila pelajar yang diberikan makanan roti, merungut sambil berkata, ''kami tak makan roti, kami nak nasi lemak''.

Wartawan yang mendengar ayat itu pada mulanya tidak mengendahkan rungutan sebegitu. Ia mungkin hanya luahan dari pelajar yang penat menunggu. Tetapi ia juga secara tidak langsung menggambarkan watak pelajar Malaysia itu sendiri yang 'terlampau manja'.

Para pelajar haruslah mengerti bahawa apa yang mereka lalui iaitu proses pemindahan tersebut adalah dilaksanakan ekoran suasana darurat di Mesir. Bila waktu darurat, segalanya tidak akan dapat dinikmati seperti layanan kelas perniagaan. Akan ada makanan yang tidak menyelerakan, akan ada penerbangan yang lama tersadai di landasan dek kerenah birokrasi pihak berkuasa tempatan dan akan ada bas yang terlewat menghantar ke destinasi.

Tatkala di pihak Malaysia berusaha gigih, harus diketahui bahawa apabila berurusan dengan negara asing masih wujud kerenah birokrasi yang luar biasa tebalnya di hari ini. Namun, ia diatasi dengan penuh diplomasi oleh pegawai-pegawai yang berpengalaman dalam hubungan dua hala.

Para pelajar terbabit, hendaklah bersabar jika tidak mahu berterima kasih sekali pun kepada kerajaan atas inisiatif yang diusahakan. Janganlah mencemuh dan membidas, menceritakan rasa tidak puas hati yang tidak munasabah bila yang biasa dinikmati tidak dapat disediakan. Ingatlah ini adalah waktu darurat. 

2 comments:

Anak Lenggong said...

SiBangsat tak sedar diri yang menghantar SMS tu sepatutnya tidak bersama-sama pelajar lain menerima bantuan daripada kerajaaan Malaysia..suruh je dia tunggu bantuan daripada Nike Ajis ataupun Nuar Brahi...Ini lah manusia yang tak sedar diuntung..dah laa pegi dapat pembiayaan..tetapi berperangai seperti anjing pulak..

Suruh dia bandingkan apa yang telah kerajaan Malaysia hulurkan dan apa yang dilakukan oleh Puak yang selalu mentarbiah mereka sewaktu negara mesir dialam keadaan aman..mana peginya pemimpin yang mereka sanjung tu..apa yang nyata mereka hanya tau memekak menggunakan air liur sahaja..

Anonymous said...

Kalau dah pertolongan drp kerajaan itu tidak memuaskan, jahat, bodoh, dilayan campak mcm binatang, kenapa nak ikut misi menyelamat itu? Cari jlnlah sendiri utk menyelamatkan diri drp rusuhan rakyat mesir itu? Atau lbh baik pergilah berdemo bersama rakyat mesir itu? ada berani?

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.