Wednesday, February 9, 2011


Asyik politik, politik, politik...serabut kepala otak dengan politik...kita layan pula cerita seram ni....hehehehehe

Bayi kami menjerit sangat kuat secara tiba-tiba, dan serentak dengan itu juga saya ternampak satu kelibat, seperti manusia tanpa pakaian namun tidak mempunyai wajah berada di belakang kereta ketika hendak menuruni bukit dari puncak Gunung Jerai dalam kejadian lewat petang Jumaat lalu,” kata seorang lelaki berusia 27 tahun. 

Tengku Uwais Masdani Tengku Mohd Adlan mendakwa ketika kejadian dia bersama isteri, Nor Hafizah Mohd Noor, 27, dan anak kedua mereka, Tengku Nur Qaira Damia, 3 bulan, dalam perjalanan turun ke bawah selepas kira-kira 30 minit berada di puncak gunung itu untuk mengambil gambar sambil bersiar-siar. 

Menurutnya, semasa dalam perjalanan menuruni bukit, setiba di satu selekoh, kenderaan yang dipandunya sukar membelok sehingga memaksanya untuk mengundur kereta sebelum cuba membelok sekali lagi namun usaha itu gagal. 

“Sehinggalah saya terpaksa mengundur kereta sambil membuka pintu untuk melihat keadaan di belakang sama ada melepasi jarak untuk membelok atau tidak. 

“Sebaik melihat ke arah belakang, saya tergamam apabila melihat satu kelibat yang sangat tinggi seperti manusia tetapi tidak berpakaian dan tidak berwajah sedang memerhati saya. 

“Dengan pantas ketika itu saya segera tutup tingkap dan pintu kereta lalu memecut dengan kelajuan sehingga 50 kilometer sejam menuruni bukit yang sangat curam sambil terbayang-bayang kelibat yang dilihat dengan sangat jelas, kerana ketika itu ia hanya berada kira-kira tiga meter sahaja dari tempat duduk pemandu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam. 

Terdahulu mereka yang dalam perjalanan pulang dari Batu Feringhi singgah ke Gunung Jerai kira-kira jam 6.30 petang itu bagi mengambil angin petang sebelum pulang ke Jitra. 

Tengku Uwais berkata, sepanjang perjalanan menuruni bukit itu, anaknya itu langsung tidak berhenti berteriak dan menjerit-jerit sehinggalah mereka berhenti seketika di surau sebaik sahaja tiba di bawah sebelum bergerak pulang ke Jitra. 

Menurutnya, dalam perjalanan pulang dia langsung tidak bercakap apa-apa dengan isterinya sehinggalah tiba di rumah, barulah semua kejadian yang berlaku d diimbas kembali dan diceritakan kepada isterinya. 

Sementara itu, Nor Hafizah berkata, pada awalnya lagi dia merasakan ada sesuatu yang berlaku ketika dalam perjalanan menuruni puncak itu, namun mulut berat hendak bertanya sehinggalah semua yang berlaku diceritakan kembali suaminya sebaik tiba di rumah pada malam itu. 

Menurutnya, sambil bercerita mereka turut melihat kembali semua gambar yang dirakamkan dalam telefon bimbit dan kemudian apabila melihat sekeping daripada beberapa keping gambar yang diambil, dia terkejut melihat wajahnya pada gambar itu seakan-akan hodoh, lalu mereka membesarkan imej itu untuk melihatnya dengan lebih dekat. 

“Tetapi apa yang mengejutkan, kami ternampak satu lagi objek yang rupanya seakan-akan binatang mempunyai tanduk namun berjubah putih dalam keadaan tergantung di sebalik pokok dan cahaya-cahaya lampu yang dihiaskan pada pokok terbabit. 

Dia berkata, sebelum ini arwah bapa pernah juga memesan supaya jangan sesekali naik ke puncak gunung itu namun dia tidak tahu apa sebabnya. 

“Ini kali pertama saya naik ke puncak itu dan pesanan arwah ayah mungkin bersebab dan tidak menyangka ia terjadi kepada kami. 

“Mungkin ini kali pertama dan terakhir saya menaiki puncak itu kerana khuatir sesuatu berlaku selepas ini jika tidak berjaga-jaga,” katanya.

2 comments:

Anonymous said...

mengapa tengku x post gmbar yg diambil tu... mungkin sy dpt membantu...

Anonymous said...

Biar dia lah

Post a Comment

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.